Rebiu iPad Pro dan Smart Keyboard

iPad Pro yang baru ini boleh didapati dalam 2 versi; Versi 12.9 inci dan 10.5 inci. Dengan aksesori tambahan seperti Apple Pencil dan Apple Smart Keyboard, tablet ini menyasarkan tempat sebagai pengganti bagi laptop. Persoalannya, adakah matlamat ini tercapai?

ipad pro 10.5

Pengenalan

Umum mengetahui iPad, sepertimana tablet yang lainnya lebih sesuai digunakan untuk menonton video, membaca media cetak dan lain-lain kegunaan pengguna biasa. Namun dengan kemunculan iPad Pro baru ini Apple berazam untuk menukar statusnya. Kerja-kerja yang sebelum ini tidak mampu ditangani oleh tablet biasa kini sudah mula boleh digunakan; mengedit video (sehingga resolusi 4K!) dan gambar misalnya.

Kelebihan iPad Pro
  • Kualiti paparan skrin

iPad Pro ini didatangkan dengan beberapa ciri yang menarik, antaranya refresh rate sehingga 120Hz dengan teknologi ProMotion. Teknologi ini menjadikan paparan skrin lebih lancar. Selain itu, paparan skrin iPad juga dijanakan dengan P3 wide colour display; ia bermaksud lebih banyak warna boleh dipaparkan oleh iPad ini. Warna gambar/video yang dipaparkan menjadi lebih tepat / lebih menyamai sumbernya.

ambl gambar dgn ipad

  • Jangka hayat bateri kekal lama pada 10 jam

Apple mementingkan jangka hayat bateri dalam penghasilan produk iPad ini. Di mana meskipun tablet ini semakin canggih dari satu generasi ke satu generasi yang lain, jangka hayat bateri kekal pada 10 jam. Jadi tablet ini sesuai untuk digunakan di luar untuk satu jangkamasa yang agak lama. Bukan itu sahaja, kita boleh bekerja tanpa mengorbankan prestasinya (seperti memasukkan dalam mod ‘Battery saver’).

  • Pilihan applikasi yang pelbagai

AppStore menyediakan bermacam-macam applikasi untuk kita gunakan. Kebanyakan applikasi popular boleh didapati baik dalam Google Store mahupun Apple AppStore. Selagi mana applikasi yang kita cari itu popular, kebarangkalian ia untuk wujud di dalam AppStore itu tinggi

appstore

Kekurangan iPad Pro

Tidak dinafikan tablet ini tidak lari dari kekurangan; itulah norma bahan buatan manusia. Antara kekurangannya seperti di bawah:

  • Tidak boleh memainkan Flash Player

Sehingga hari ini Apple masih enggan memberikan ruang untuk memaparkan content yang dihasilkan dengan Flash. Ini kerana mereka menganggap Flash ini dikontrol oleh satu organisasi yakni Adobe sedangkan Apple itu sendiri inginkan laman Web itu bebas dari pengaruh siapapun. (rujuk di sini). Lagipun format HTML5 difikirkan lebih sesuai untuk digunakan untuk menghasilkan produk berunsur Web ini. Persoalannya, masih banyak laman Web dihasilkan dengan Flash.

Terdapat alternatif untuk masalah ini; dengan menggunakan Browser Web Photon (boleh didapati di Apple AppStore). Cuma anda perlu membeli applikasi ini yang berharga RM19.90. Pada saya sekiranya anda kaki menonton live stream @ drama memang sesuai untuk dibeli.

  • Bukan semua applikasi boleh didapati

Meskipun AppStore mempunyai jutaan applikasi tersedia, namun terdapat juga applikasi yang tiada. Mungkin disebabkan pihak developer masih belum mahu beralih dari Windows. Tidak seperti Microsoft Surface yang boleh menjalankan apa jua applikasi Windows yang sedia ada.

  • Pengguna PC tegar akan merasa ‘kehilangan’ sesuatu

Bagi yang terbiasa menggunakan PC mereka untuk melakukan kerja, pasti akan terbiasa menggunakan tetikus. Dengan iPad, anda perlu menggunakan sentuhan untuk beberapa proses tertentu. Meskipun penggunaan Smart Keyboard banyak membantu dari segi menaip, namun proses seperti memilih barisan ayat dalam MS Word lebih selesa dilakukan dengan tetikus.

Pokoknya cara mengendalikan PC dan iPad itu ada perbezaannya dan kita harus membiasakan diri dengan perbezaan ini.

Smart keyboard; pilihan yang bijak

Smart keyboard didatangkan dengan susunan QWERTY yang biasa kita jumpa. Terdapat sedikit perbezaan dengan susunan QWERTY keyboard Windows namun ia tidak banyak mengganggu kerja-kerja menaip.

Peranti ini tidak memerlukan bateri langsung; ia dijana oleh iPad itu sendiri menerusi port Smart Connector. Meskipun tiada fungsi pencahayaan keyboard (backlit keys) tetapi pada hemat saya ia bukanlah satu isu yang besar. Mungkin Apple akan mempertimbangkan untuk mewujudkan fungsi ini dalam keluaran yang akan datang.

‘Look and feel’ keyboard ini selesa (untuk model 10.5″). Setiap butang itu tidak disusun terlalu rapat; selesa untuk menaip dengannya. Butang ini juga memberikan ‘feedback’ yang bagus (meskipun tidak sesedap keyboard mekanikal). Yang menariknya lagi Smart Keyboard ini 2 dalam satu, boleh menjadi cover bagi skrin iPad anda. Apabila tidak digunakan ia boleh dilipat dan menjadi pelindung skrin iPad dari sebarang objek!

Pada saya aksesori smart keyboard ini memang sangat sesuai digunakan bersama iPad Pro ini. Ia menjadikan proses menaip jauh lebih selesa (seperti menaip di komputer dan laptop) berbanding dengan keyboard pada skrin.

smat keyboard

Kesimpulannya

Untuk makluman pos ini dihasilkan dengan iPad Pro beserta Smart Keyboard. Buat masa ini saya merasakan komputer lebih senang untuk mengedit pos (memasukkan gambar, video dan link) berbanding tablet ini, tetapi fungsi menaip memang cemerlang! Diharapkan dengan kedatangan iOS 11 kelak akan lebih menyenangkan kerja saya membuat pos yang akan datang. iOS baru ini akan menambah lebih banyak fungsi untuk multi-tasking seperti paparan tetingkap yang banyak serentak, File Manager, fungsi ‘drag & drop’ dan lain-lain lagi.

Kongsikan sekiranya bermanfaat:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge